Sunday, April 18, 2010

Sejarah Pentadbiran Negeri Kedah

Sejarah Pentadbiran Negeri Kedah


Pengenalan

Negeri Kedah Darul Aman sungguh bertuah kerana mendapat pucuk pimpinan silih berganti dari tokoh-tokoh yang bijaksana, berpandangan jauh, bertanggungjawab serta yakin akan segala perancangan yang dibuat demi pembangunan rakyat dan negara.

Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selaku Perdana Menteri Malaysia dan juga Bapa Kemerdekaan memperlihatkan kewibawaannya yang unggul. Banyak tindakan dan langkah-langkah yang diambil adalah merupakan kepentingan jangka panjang serta memandang jauh ke hadapan demi kesejahteraan rakyat dan negara. Tun Dr. Mahathir Mohamad pula mengambil alih pimpinan Tun Hussein Onn sebagai Perdana Menteri ke-4 dengan membawa era pembaharuan meliputi aspek ekonomi, sosial, politik, agama, pentadbiran dan juga perhubungan antarabangsa. Visi beliau cukup jauh dengan menyuarakan harapan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menerusi Wawasan 2020. Di peringkat global, Tun Dr. Mahathir begitu lantang menyuarakan mengenai pendirian Malaysia terutamanya di dalam forum-forum antarabangsa termasuk di Perhimpunan Agung PBB, Persidangan Negara-Negara Berkecuali dan sebagainya.

Sebelum merdeka dua orang tokoh yang pernah dilantik menjadi Menteri Besar Kedah iaitu Haji Mohamad Sherif bin Osman (1948 - 1954) dan YTM Tunku Ismail bin Tunku Yahya (1954 - 1959) telah pun merintis ke arah pentadbiran negeri yang cukup mantap dengan memperkenalkan pelbagai pembaharuan dari sudut sosial seperti pelajaran, keagamaan, bidang kesihatan dan perubatan, komunikasi dan pembandaran dan juga pelbagai kemajuan dari aspek ekonomi dan politik.

Era selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31hb Ogos 1957, menyaksikan proses pengisian kemerdekaan di Negeri Kedah melalui pelaksanaan pelbagai projek dan pembaharuan serta pembangunan infrastruktur, sosio ekonomi untuk kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat telah dilaksanakan berperingkat-peringkat dan dalam fasa-fasa tertentu di bawah pentadbiran beberapa orang Menteri Besar yang dipilih oleh rakyat. Mereka ialah YAB Dato' Syed Omar bin Syed Abdullah Shahabudin (1959-1967), YAB Dato' Seri Utama Syed Ahmad bin Syed Mahmud Shahabudin (1967-1978), YAB Dato' Seri Syed Nahar bin Tun Syed Sheh Shahabudin (1978-1985), YAB Tan Sri Dato' Seri Haji Osman bin Haji Arof (1985-1995), YAB Tan Sri Dato' Seri Sanusi bin Junid (1995-1999) dan kini Kedah diterajui oleh kepimpinan YAB Dato' Seri Diraja Dato' Syed Razak bin Syed Zain Barakbah.

Sejarah Terusan Wan Muhammad Saman

Sejarah Terusan Wan Muhammad Saman
- Latar Belakang Wan Muhammad Saman
Latar Belakang




Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdul Hamid Halim Shah Ibni Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah, K.C.M.G.
Sultan dan Yang DiPertua Negeri Kedah
Almarhum diputerakan pada 4-6-1864 - mangkat pada 15-5-1943 (Memerintah Negeri Kedah 1882-1943)



Allahyarham Wan Muhammad Saman
Perdana Menteri Kedah 1870-1898
Meninggal dunia : 14 Disember 1898

Nama penuh beliau ialah Wan Muhammad Saman bin Wan Ismail. Beliau dilahirkan di Alor Janggus pada tahun 1830-an. Semasa kecil beliau mendapat didikan asas mengenai perkara-perkara agama dan juga diajar mengaji Al-Quran. Di samping itu, beliau juga mahir bertutur Bahasa Siam.

Wan Muhammad Saman juga dikenali sebagai Tokoh Pembangunan Negeri Kedah kerana berjaya mencetuskan idea untuk membina terusan sepanjang 22 batu bermula dari Alor Setar hingga ke Kaki Gunung Jerai. Hasil usaha beliau itu maka bermulalah titik tolak ke arah pembangunan Negeri Kedah terutamanya dalam bidang pertanian sehingga dikenali sebagai "Negeri Jelapang Padi" atau "Jelapang Padi Malaysia". Kedah juga merupakan negeri yang paling banyak mempunyai terusan atau tali air.

Wan Muhammad Saman meninggal dunia pada 14 Disember 1898 dan dikebumikan di Makam DiRaja Langgar. Tempatnya sebagai Perdana Menteri Kedah telah diganti oleh Tengku Abdul Aziz. Dengan kematian Wan Muhammad Saman maka berakhirlah sistem pemerintahan secara tradisional dan bermulalah satu zaman baru bagi Negeri Kedah.

Sejarah Perkhidmatan Bomba

Sejarah Perkhidmatan Bomba
- Logo Jabatan Bomba Dan Penyelamat

Logo

Keterangan:

Bahagian atas logo Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia terdapat bentuk bulan sabit dan bintang yang membawa makna bahawa nilai-nilai Islam dan nilai-nilai murni diserapkan ke dalam budaya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Topi keledar dan kapak bersilang bermaksud keselamatan kepada personel Jabatan yang memberikan perkhidmatan yang professional. Bunga padi melambangkan kuasa untuk melaksanakan Akta 341 dan juga kemakmuran negara.

Warna merah melambangkan semangat keberanian yang tinggi, melambangkan Jabatan menawarkan perkhidmatan yang berkualiti ("a golden service") kepada pelanggan dan warna biru melambangkan air yang digunakan sebagai media utama pemadaman kebakaran.

Sejarah Pembinaan Jalan Kereta Api di Kedah

Sejarah Pembinaan Jalan Kereta Api di Kedah
- Pengenalan



Pengenalan

Persaingan kuasa-kuasa besar seperti Inggeris dan Perancis di kebanyakan negara Asia Tenggara berlaku begitu hebat pada akhir kurun ke-19. Persaingan ini adalah kerana wujudnya perlumbaan untuk mengaut kekayaan daripada sumber ekonomi yang terdapat di negara-negara Asia termasuk di Tanah Melayu. Kemasukan kuasa-kuasa besar ini telah memberi kesan terhadap penyediaan sistem jaringan perhubungan dan pengangkutan di Tanah Melayu. Oleh itu, bolehlah dikatakan bahawa proses pembinaan jalan kereta api di Kedah adalah semata-mata untuk memenuhi keperluan strategi dan memberi peluang mencari kekayaan bagi saudagar-saudagar yang terlibat dalam aktiviti perdagangan.

Pada 20 Januari 1874, Perjanjian Pangkor telah ditandatangani. Perjanjian ini merupakan titik peralihan yang penting di Tanah Melayu. Ia melambangkan permulaan proses pemerintahan British di negeri-negeri Melayu. Bermula dengan campur tangan untuk menempatkan residen di Selangor, Pahang, Perak dan di Sungai Ujung, Negeri Sembilan lalu membentuk Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMS), British seterusnya berjaya menguasai Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu (NNMTB) yang terdiri daripada Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.

Sebelum sistem pengangkutan kereta api diperkenalkan di Kedah, kaedah perhubungan lebih tertumpu kepada penggunaan sungai sebagai jalan perhubungan. Manakala pengangkutan darat tidak efektif disebabkan kurangnya jaringan jalan raya. Oleh itu, Kerajaan Inggeris berpendapat bahawa perlu diwujudkan satu sistem perhubungan dan pengangkutan yang lebih baik bagi menghubungkan Negeri-Negeri Melayu.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Merdeka! Merdeka! Merdeka!
- Riwayat Hidup YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj
Era

Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj merupakan seorang putera raja yang telah menyalurkan tenaganya ke arah mencapai kemerdekaan dan keharmonian negara. Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj merupakan Putera Sultan Abdul Halim Shah, Sultan Kedah yang ke-24 dan dilahirkan pada 8 Februari 1903 di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar, Kedah. Ketika itu Kedah adalah sebuah negeri di bawah naungan Siam. Beliau adalah anakanda kepada Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid Shah. Ibunya bernama Cik Manjalara merupakan seorang puteri Ketua Negeri Mataban, dalam jajahan Siam.

Penglibatan Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam parti UMNO membawa kepada perlantikannya sebagai Perdana Menteri yang pertama selepas kemerdekaan dari 1957 hinggalah beliau bersara pada tahun 1970. Pada 6 Disember 1990, seluruh negara dirundung pilu kerana YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Bapa Kemerdekaan, Bapa Malaysia meninggal dunia dan dikebumikan dengan penuh hormat di tanah perkuburan keluarganya di Kedah selaku menunaikan permintaan beliau.

Asal Usul

Ibu Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bernama Cik Menjalara, merupakan anak Ketua Negeri Mataban, dalam jajahan Siam. Pendidikan formal Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bermula ketika berusia 6 tahun di sekolah Melayu dan seterusnya di Sekolah Inggeris Kerajaan yang kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid. Kemudian YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dihantar belajar di Siam di Sekolah Debsirinder, Bangkok ketika berusia 12 tahun. Apabila kekandanya Tunku Yusuf yang menjaganya di Bangkok meninggal dunia, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berpindah ke Penang Free School, Pulau Pinang pada tahun 1915.

Pada tahun 1919, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah dikurniakan hadiah pelajaran negeri Kedah ke England dan menerima Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sejarah) dari St. Catherine College, Universiti Cambridge pada tahun 1925. Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bolehlah dianggap sebagai anak Melayu yang pertama lulus universiti di England.

Selepas itu, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj meneruskan pula pengajiannya dalam bidang perundangan di Inner Temple, England. Semasa menuntut di England, jiwanya tersentuh dengan lagak bangsa penjajah yang memandang rendah kepada bangsa yang dijajah. Ini mendorongnya menubuhkan "Persatuan Anak-anak Melayu Great Britain" pada tahun 1927 yang bertujuan menyatupadukan pelajar-pelajar Melayu di sana serta menyemaikan semangat Kemerdekaan. Beliau juga menyertai "Majlis" iaitu sebuah persatuan pelajar India - Muslim yang melaung-laungkan sentiment anti-penjajah British.

Di sinilah beliau mula berjinak dalam bidang politik apabila menubuhkan Kesatuan Melayu Great Britain dan menjadi setiausahanya yang pertama. Bagaimanapun, apabila Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj gagal dalam peperiksaan, beliau pulang ke tanahair dan berkhidmat sebagai Pegawai Daerah di beberapa tempat di Kedah.

Sekembalinya ke tanahair pada tahun 1931, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj memasuki Perkhidmatan Awam Negeri Kedah dan pernah berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Kuala Muda, Padang Terap, Kuala Nerang, Pulau Langkawi dan Kulim.

Pada tahun 1938, sekali lagi Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ke England, kali ini untuk mengikut kursus undang-undang namun pengajiannya terbantut apabila meletusnya Perang Dunia Kedua.

Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj kembali ke tanahair dan bergiat cergas dalam SABERKAS. SABERKAS adalah singkatan kepada "Syarikat Bekerjasama Am Saiburi". Saiburi adalah nama Kedah dalam bahasa Siam namun maksud sebenarnya ialah "Sayang Akan Bangsa Redha Korban Apa Segala". Beliau banyak melakukan kerja-kerja kebajikan semasa pemerintahan tentera Jepun. Apabila Jepun menyerah kalah dan British kembali muncul, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menyertai Kesatuan Melayu Kedah.

Demi menyempurnakan cita-citanya menjadi seorang peguam pada tahun 1947, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ke England sekali lagi untuk menyambung pengajian undang-undangnya setelah tergendala selama 25 tahun. Pada tahun 1949 Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj lulus dari Cambridge Universiti dan ditauliahkan sebagai peguam.

Sekembalinya ke tanahair Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bertugas sebagai Pendakwaraya di Perkhidmatan Kehakiman Kuala Lumpur.

Semasa pemerintahan Jepun, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah diberi jawatan sebagai Penyelia Pelajaran Negeri Kedah. Di antara tahun 1947 hingga 1949 berlaku pergolakan politik yang hebat di Tanah Melayu. Pada masa itulah Almarhum YTMTunku Abdul Rahman Putra Al-Haj kembali ke England untuk meneruskan pengajian perundangan beliau di Inns of Court dan kembali ke tanahair dengan segulung ijazah peguam dan harapan untuk mengembagkan dasar demokrasi.

Pada masa itu beliau berumur 45 tahun dan telahpun berkahwin dengan Sharifah Rodziah bt. Syed Alwi Barakbah. Walau bagaimanapun, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pernah berkahwin sebelumnya dengan seorang gadis bernama Meriam pada tahun 1933, malangnya Meriam meninggal dunia akibat demam malaria. Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pernah juga berkahwin dengan Violet Coulson pada tahun 1935 tetapi perkahwinan itu tidak berkekalan.

Keistimewaan

Pada 13 Januari 1956, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengetuai rombongan perundingan Merdeka yang disertai oleh 4 orang wakil Raja Melayu dan 4 orang wakil Parti Perikatan di Lancester House dan pada 8 Februari 1956, beliau menandatangani Perjanjian Merdeka. Pada 31 Ogos 1957, Almarhum Tunku Abdul Rahman melaungkan perkataan, Merdeka! Merdeka! Merdeka! Di Stadium Merdeka Kuala Lumpur. Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dilantik sebagai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu Merdeka yang pertama dan dalam masa yang sama memegang portfolio Menteri Dalam Negeri.

Sebagai Perdana Menteri Malaya yang pertama, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah bertindak lancar dengan mencipta polisi-polisi baru. Tunku Abdul Rahman memulakan beberapa projek pembangunan, di antaranya ialah membina Masjid Negara, Stadium Negara, Bangunan Parlimen, Muzium Negara dan Tugu Kebangsaan. Pada tahun 1957, Pertandingan Bola Sepak Piala Merdeka di buka kepada semua negara kecuali Israel. Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mengasaskan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam usaha beliau untuk memperkayakan warisan Malaysia.

Di peringkat antarabangsa, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mengilhamkan penubuhan Association of Southeast Asia (ASA) dan memeterai perjanjian penubuhannya pada tahun 1961 dengan Thailand dan Filipina. Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj adalah seorang yang keras menentang dasar apartied Afrika Selatan sehingga negara itu disingkirkan keahliannya dari Komanwel dalam Persidangan Komanwel di London.

Untuk mengeratkan hubungan diplomatik sesama negara Islam serta meningkatkan syiar Islam, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mengilhamkan negara menganjurkan Pertandingan membaca Al-Quran peringkat antarabangsa. Tradisi ini diteruskan sehingga ke hari ini.

Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj adalah peminat sukan yang serius, beliau telah mengembangkan minatnya ke peringkat negara apabila Malaysia menganjurkan kejohanan Pestabola Merdeka pada setiap tahun yang menyumbang kepada negara ini muncul sebagai gergasi bolasepak Asia ketika itu.

Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj juga bertanggungjawab mengilhamkan penubuhan Malaysia yang terbentuk pada 16 September 1963, satu gagasan persekutuan yang terdiri dari Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Walau bagaimanapun, beliau dengan berat hati kemudiannya telah menyingkirkan Singapura dari Malaysia pada 9 Ogos 1965. Tindakannya adalah didasarkan kepada anggapannya bahawa Singapura adalah "barah yang harus dibuang" demi mengelakkan kacau-bilau politik merebak ke seluruh negara.

Bagi Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, ini perlu dilakukan demi keamanan negara ketika itu. Pada tahun 1969, pergolakan politik telah membawa kepada peristiwa hitam "13 Mei". Pada masa itu, beberapa pemimpin muda yang berfikiran radikal mendesak Almarhum untuk meletak jawatan. Beliau dikritik kerana kurang melaksanakan dasar pro-Melayu sehingga menyebabkan berlakunya rusuhan. Walau bagaimanapun, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj enggan berbuat demikian sehinggalah masalah itu dapat diselesaikan. Ekoran dari insiden itu, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah menyerahkan kuasa eksekutif kepada Tun Razak yang mempengerusikan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).

Akhirnya, pada 21 September 1970 tamatlah satu era apabila Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bersara dari jawatan Perdana Menteri Malaysia dan menerima pelawaan Raja Faizal dari Jeddah. Pada Perhimpunan Agung UMNO ke-22 pada 23-24 Januari 1971, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj meletakkan jawatan Yang DiPertua UMNO dan Tun Razak disahkan sebulat suara sebagai penggantinya.

Walaupun telah bersara, beliau menceburkan diri dalam bidang kewartawanan. Almarhum YTM Tunku Abdul RAhman Putra Al-Haj banyak menabur jasa dan mengharumkan Malaysia di peringkat antarabangsa. Beliau mendapat anugerah-anugerah akademik dan sukan dari dalam dan luar negara di samping menerima darjah-darjah kebesaran. Walau setinggi mana pencapaian beliau, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj tetap seorang yang merendah diri dan sentiasa memikirkan kebaikan rakyat.

Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj meninggal dunia pada 6 Disember 1990 di Hospital Besar Kuala Lumpur dan disemadikan di Makam Di Raja Langgar, Alor Setar. Jasa-jasanya sebagai Bapa Kemerdekaan akan sentiasa dikenang setiap kali menjelang Hari Kebangsaan.

Peranan Dan Sumbangan

Zaman pendudukan Jepun telah benar-benar melahirkan semangat kebangsaan di jiwa Almarhum. Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj adalah salah seorang yang hadir ketika Kongres Melayu Se Malaya yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman pada tahun 1946. Pada tahun 1949, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menjadi pengerusi UMNO bahagian negeri Kedah. Apabila Dato Onn bin Jaafar meletak jawatan sebagai Presiden UMNO, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah dipilih bagi mengisi kekosongan itu pada 26 Ogos 1951.

Sejak mengambil alih kepimpinan UMNO dari Dato Onn, Almarhum YTM Tunku Rahman Putra Al-Haj telah mewujudkan kerjasama dengan MCA menubuhkan Perikatan pada tahun 1952. Sejak itu Perikatan menjadi badan dominan yang memperjuangkan Kemerdekaan sehinggalah negara memperolehi kebebasan mutlak apabila Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj membacakan pengisytiharan Kemerdekaan pada pagi 31 Ogos 1957.

Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj membuktikan kenegarawanan beliau apabila Parti Perikatan dihasilkan bersama-sama dengan MCA dan kemudian disertai pula oleh MIC. Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menegaskan kemerdekaan akan hanya dicapai melalui kerjasama di antara kaum Melayu, Cina dan India. Kewibawaan Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebagai seorang pemimpin terserlah apabila hasil rundingan Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan pihak British membawa kepada pilihanraya yang pertama pada 31 Ogos 1955 dan Parti Perikatan memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dilantik menjadi Ketua Menteri. Di antara usaha beliau yang penting adalah cubaan menyelamatkan negara dari ancaman komunis semasa darurat dengan memberi tawaran pengampunan beramai-ramai sekiranya pengganas menyerah diri. Ini diikuti oleh Rundingan Baling pada 27 dan 28 Disember 1955 antara PKM dan kerajaan tetapi menemui jalan buntu.

Peristiwa Bersejarah di Negeri Kedah (1904-1990)

Peristiwa Bersejarah di Negeri Kedah (1904-1990)
- Pengenalan



Pengenalan

"Antara peristiwa bersejarah di Negeri Kedah" (1904-1990) adalah merupakan maklumat yang mengisi ruangan MEMORI di Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah bagi bulan Jun 2003. Ianya memaparkan 6 peristiwa penting yang berlaku di Negeri Kedah dalam jarak masa antara tahun 1904 sehinggalah tahun 1990. Antara peristiwa-peristiwa tersebut adalah Perkahwinan 3 Juta (1904), Peristiwa Sedim (1941), Penentangan Malayan Union (1946), Rundingan Baling (1955), Pertabalan DYMM ke-5 (1971) dan Kedah Juara 90 (1990).

Tidak dapat dinafikan terdapat banyak lagi peristiwa bersejarah yang berlaku di Negeri Kedah, namun sisipan peristiwa yang dipaparkan mampu untuk mengimbas kenangan, menambah pengetahuan serta menyegarkan ingatan kita.

Semoga kandungan maklumat yang disampaikan dapat membantu pelajar mahupun golongan penyelidik dalam usaha memenuhi keperluan maklumat mereka.

Kependudukan Siam di Kedah

Kependudukan Siam di Kedah
- Asal Usul Orang Siam
Asal Usul

Semua penulisan yang ditemui menyatakan bahawa orang Siam berasal dari kawasan tengah Asia yang membentuk negara Mongolia dan Cina hari ini. Phararajphongsawadarn oleh Phararajhatlekha (TB 2245:TM 1912), Phongsawadarnchattai oleh Phra Boriharnthepthani dan Sejarah Asia Tenggara (1971) oleh D.G.E. Hall sepakat mengisahkan perihal tanah asal orang Siam di Asia Tengah. Dipercayai bahawa sekitar 7000 tahun dahulu mereka mendiami kawasan pergunungan Atlai (Mongolia) dan sekitar 2500 tahun kemudian mereka berkembang ke selatan yang lebih subur dan membina penempatan kekal di lembangan sungai Hwang Ho dan Yang Tze Kiang. Selain sebagai penternak nomad, mereka juga petani berkebolehan. Penempatan kekal telah mewujudkan puluhan negara kota orang Siam seperti Sze Chuan, Cheang Tu, Hu Pe, Hu Nan, Auhui di wilayah Sze Chuan dan Kwang Ghao di negara China hari ini.

Sama ada disebabkan bilangan penduduk semakin ramai atau pergolakan sesama sendiri atau tekanan orang Cina dalam rentetan sejarah yang panjang, orang Siam mulai bergerak turun ke selatan dari penempatan besar mereka di Chungking. Orang Cina sebelum ini hidup secara nomad mulai membina kekuasaan dan menekan pengaruh ke atas orang Siam. Pada beberapa peringkat dengan diketuai oleh raja-raja mereka, orang siam dapat memperlahankan penghijrahan mereka ke selatan. Orang cina menggelar nama kerajaan mereka sebagai "Syamkok" atau "Ailao". Dari nama ini barangkali kita mengenali mereka sebagai orang Siam atau Lao.

Antara tahun 757 Masehi, kerajaan Siam Nancao di wilayah Yunan, selatan Cina telah wujud sebagai sebuah empayar yang luas hingga ke Syam dan hulu sungai Irrawadi. Pada masa yang sama lembah Menam Chao Phraya masih di bawah pengaruh Khmer mulai didatangi oleh beberapa gerombolan Siam dari Muang Se, Tong King dan Annam. Mereka menjajah Lembangan Mekong dan menjadi penduduk tetap Angkor Wat.

Pada abad-abad seterusnya, Lembangan Sungai Ping, Wang, Yom dan Nan mulai menerima pendudukan Siam. Beberapa kerajaan kecil yang merdeka wujud dan Phayao salah sebuah wilayah di Thailand hari ini telah wujud sejak TM 1096, diikuti dengan negeri kota di Cengrai, Ciensen, Ciengmai, Sua (Luang Prabang) dan lain-lain.

Penaklukan ke atas Nancao oleh Kublai Khan (TM 1253) telah merubah taburan penempatan orang Siam di kerajaan kecil di selatan. Sukhotai (wujud sejak TM 1238) dan Luang Prabang di Lembah Sungai U mulai berkembang membentuk empayar Lannathai, walaupun akhirnya Sukhotai lebih dikenali. Kehancuran Nancao turut mengecilkan perkembangan kerajaan Siam Ahom di Assam (India) tetapi menyemarakkan perkembangan mereka di Sipsong Panna dan Sipsong Cuthai.

Sukhothai dianggap mencapai zaman keemasan semasa pemerintahan Rama Khamheng (TM 1283-1317) dan orang Siam mengingatinya sebagai pengasas huruf tulisan bangsa ini. Perluasan empayar Sukhothai dipercayai hingga ke Hujung Tanah (Johor-Singapura) wapaupun tidak ada bukti kukuh. Namun begitu, kerajaan Lavo, Khamphengphet hingga ke Caiya dan Ligor di Segenting Kera di anggap sebagai sebahagian empayar tersebut.

Sewaktu Sukhothai meniti zaman kemerosotan Raja U Thong (nama Kerajaan) membina kota baru "Dvaravati Sri Ayudhya" di sebuah pulau di Sungai Chao Phera. Di sebelah Luang Prabang pula, Fa Ngum berusaha membina empayar Sejuta Gajah (Lan Cang).

Kedah Volunteer Force (KVF)

Kedah Volunteer Force (KVF)


Pengenalan

Kedah Volunteer Force (KVF) merupakan sebuah pasukan keselamatan yang mana anggotanya tidak bekerja sepenuh masa. Ia hanya akan dipangil untuk bertugas jika keadaan memerlukan khidmatnya.

Penubuhan KVF ini ekoran daripada minat kerajaan British untuk menubuhkan pasukan-pasukan sukarela si beberapa buah negeri di Tanah Melayu pada tahun 1900-an hingga 1930-an. Permintaan daripada kerajaan negeri Kedah telah mamperkuatkan lagi hasrat British untuk menubuhkan pasukan sukarela ini.

Dalam tahun 1930, kerajaan negeri Kedah telah memohon kepada pihak British supaya menubuhkan pasukan sukarela di negeri Kedah kerana kebanyakan Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu yang lain sudah mempunyai pasukan sukarelanya sendiri sejak beberapa tahun yang lalu.

Kerajaan negeri Kedah telah melihat bahawa terdapat kebaikan dari segi langkah keselamatan di sebalik penubuhan pasukan sukarela. Pada tahun 1932/33, satu peruntukan undang-undang telah diadakan oleh Dewan Undangan Negeri Kedah untuk membolehkan penubuhan pasukan KVF.

Pada peringkat awal penubuhan, KVF kurang berperanan dan lambat berkembang kerana pada ketika itu pihak kerajaan masih menghadapi masalah kewangan akibat daripada kemelesetan ekonomi dunia. Kepentingannya hanya dapat dilihat pada akhir tahun 1930-an dan di awal 1940-an ketika hampir meletusnya Peperangan Dunia II di Tanah Melayu dengan tentera Jepun. Pada ketika inilah pasukan KVF mula berkembang dengan lebih meluas apabila pengambilan anggotanya semakin meningkat. Mereka juga diperlengkapkan dengan latihan-latihan intensif dan kelengkapan perang.

Sejarah Penubuhan Pasukan Polis Negeri Kedah Darul Aman

Sejarah Penubuhan Pasukan Polis Negeri Kedah Darul Aman

Kerja-kerja menangkap penjenayah dan menyediakan pegawai menjaga penjara dan alat-alat menghukum orang salah menjadi tanggungjawab Temenggung. Orang-orang yang membantu Temenggung ialah orang-orang yang melakukan kerja polis. Mereka juga dipertanggungjawab untuk menjalankan hukuman bunuh setelah dijatuhkan hukumannya oleh hakim. Orang-orang Temenggung juga memungut hasil mahsul untuk Sultan.

Oleh kerana Sultan yang melantik Temenggung menjalankan tugasnya, maka seluruh rakyat berdiri teguh menyokong Temenggung menjalankan tugasnya. Jadi, Temenggung mendapat kerjasama daripada ketua mukim, penghulu, tok kewing, imam dan orang sepuluh masjid.

Jika melibatkan orang-orang Cina umpamanya, Kapitan China yang dilantik oleh Sultan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada orang-orang Temenggung.

Negeri Kedah yang telah dijajah oleh Siam sejak lama dahulu menubuhkan pasukan polis, seperti yang terdapat di negara Thailand. Anggota-anggota "polis"nya tiada beruniform dan tiada latihan pada bidang-bidang berkawad, menggunakan senjata atau penegakan disiplin. Mereka ini dipangil mata-mata. Mata-mata membuat rondaan di sebelah malam seperti memeriksa orang berjalan tanpa jamung, orang yang enggan memperkenalkan diri dan berkelakuan ganjil di tengah malam. Ada juga orang yang bukan mata-mata diarahkan oleh Temenggung untuk membuat rondaan dalam pekan dan pelabuhan atau di dalam kampung supaya ringan sedikit tugas mata-mata. Orang yang meronda ini dipanggil "sembang". Sekarang "sembang" bermaksud berbual-bual pula iaitu kerja yang dilakukan oleh mata-mata dan bukan mata-mata ketika membuat rondaan.

Dalam bulan November 1870, Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah (1854-1879) telah melantik seorang Inggeris dari Singapura bernama Captain Pallet mengajar sekumpulan orang-orang Melayu menjadi "Sepahi". Boleh dikatakan Captain Pallet ialah ketua polis yang pertama di negeri Kedah. Di bawahnya dilantik pula beberapa orang Inspektor dari orang-orang Melayu juga.

Perkataan "Sepahi" ini berasal dari Parsi yang bermaksud tentera atau askar, bukan polis. British telah menubuhkan pasukan tentera dari orang-orang India yang berasal dari Punjab Benggala serta melatihkan mereka menggunakan senjata, berkawad dan berdisiplin serta memangil mereka "Sepoy". British membawa askar-askar "Sepoi" atau "Sepahi" ini berkhidmat di Negeri-Negeri Selat (Pulau Pinang, Melaka dan Singapura) dan juga Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Pahang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan) sejak British menjejak kaki di negeri-negeri tersebut.

Lima belas orang Sepahi pernah diambil mengawal Kota Kuala Kedah dalam bulan Mei 1983. Mereka mempertahankan kota tersebut dari serangan Siam bersama-sama dua ratus orang satria Melayu di bawah arahan Tunku Muhammad Saad. Sepahi-Sepahi ini di arah menggunakan meriam membedil perahu-perahu Siam yang memasuki kuala. Sepahi-Sepahi ini tidak berganjak dari meriam-meriam mereka selagi ubat bedil dibawakan oleh orang-orang Melayu kepada mereka.

Malangnya apabila Sepahi-Sepahi ini melihat beberapa buah kapal perang British di pintu Kuala Kedah membantu orang-orang Siam, mereka bertindak meninggalkan kota dan terjun ke dalam sungai. Mereka tahu siapapun tidak akan menang menentang British. Malangnya lagi apabila Sepahi-Sepahi ini tidak pandai berenang, lima belas mayat mereka didapati tersadai di belat batang-batang nibung yang dipacak oleh kapal "Hyacinth" bertujuan menyekat-menyekat perahu-perahu Melayu dari laut, maksudnya dari Langkawi, Setol atau Merbuk, masuk membantu Tunku Muhammad Saad di dalam kota.

Tempat mayat-mayat Sepahi ini ditemui, dikenali hari ini sebagai "Alor Benggali".

Harapan Sultan Ahmad Tajuddin ialah hendak menubuhkan pasukan polis yang berdisiplin dan terlatih seperti Sepahi-Sepahi yang mengawal ketenteraman dan keamanan di negeri-negeri di bawah perintahan British. Captain Pallet membawa beberapa orang Sepahi ke Kedah untuk mengajar kawad dan menembak kepada beberapa orang Melayu dari kampung menganggotai pasukan polis Kedah. Dalam bulan Julai 1875, Captain Pallet diganti oleh seorang British lain dari Singapura yang bernama Captain Thorndale.

Captain Thorndale digantikan pula oleh Belanda Islam bernama Abdul Rahman Belanda dalam tahun 1880 iaitu beberapa bulan selepas Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah mangkat ke Rahmatullah. Abdul Rahman Belanda merupakan Penguasa Polis atau "Superintendent of Police" yang pertama beragama Islam. Dalam bulan Jun 1885, Abdul Rahman digantikan oleh seorang yang dipangil Captain Duyung. Captain Duyung berbangsa British tetapi ejaan namanya sebagai seorang dari Nusantara atau Belanda - de jong.

Pasukan Polis Kedah pada masa itu belum juga teratur dan sempurna betul kerana terdapat mata-mata yang bersubahat dengan penjenayah, bermain judi, menghisap mandat dan menerima rasuah.

Dalam tahun 1889, Sultan Abdul Halim Shah (1882-1943) melantik Tunku Bahadur Syah Ibni Tunku Dziauddin iaitu putera kepada Tunku Kudin Klang menjadi Inspektor Jeneral pasukan Polis Negeri. Seorang pegawai polis British bernama Ben Mitchell di arah membentuk sebuah kontijen polis militari mententeramkan pergaduhan-pergaduhan kongsi gelap di negeri Perak dan Pulau Pinang.

Ben Mitchell terus dilantik menjadi Pesuruhjaya Polis Selatan dan Encik Ismail Bin Muhammad Hassan menjadi Pesuruhjaya Polis Utara berpejabat di Alor Setar.

Pasukan Polis Kedah meningkat prestasi apabila dua orang pegawai polis British dilantik menjadi Ketua Inspektor ("Chief Inspector") dalam tahun 1906. W.E. Speers menjadi ketua Inspektor di Kuala Muda dan P. F. Joyce menjadi Ketua Inspektor di Alor Setar.

Dalam bulan Jun 1907, Tunku Ibrahim, putera sulung Sultan Abdul Hamid dilantik menjadi Inspektor Jeneral menggantikan Tunku Bahadur Syah. Dalam tahun 1970 inilah Kerajaan Negeri membina bangunan pajabat polis berhampiran Penjara Lama berhadapan dengan Pejabat Pos Besar di Jalan Raja. Sebelum 1907, Pejabat Polis ialah di sebuah pintu bangunan di kedai di Jalan Pekan Melayu berhampiran Masjid Raja (Masjid Zahir sekarang).

Pemegang-pemegang jawatan inspektor ditambah lebih ramai dan tiap seorangnya diberi latihan di Pulau Pinang. Malahan pada masa itu ramai anak-anak Melayu Pulau Pinang menjadi inspektor polis di Kedah. Selain daripada itu, diambil juga inspektor-inspektor dari Negeri-Negeri Bersekutu berkhidmat di sini.

Tunku Ibrahim (Tunku Sulung) terpaksa meningalkan jawatan Inspektor Jeneral kerana ditabal menjadi Rejen atau Pemangku Sultan dalam bulan Julai 1913. Jawatan Inspektor Jeneral dipegang oleh pegawai awam bernama Tunku Ismail.

Dalam tahun 1909, Kedah menjadi sebuah negeri yang dinaungi oleh British dan tidak lagi dinaungi oleh Siam. Penasihat British yang pertama ialah W.G. Maxwell. Beliau membubarkan kontinjen polis Sikh dan meletakkan anggota-anggotanya di dalam polis biasa.

Ben E. Mitchell bersara dalam tahun 1910. Masa ini mata-mata dibayar sepuluh ringgit sebulan dan kopral mendapat lima belas ringgit. Pakaian seragam mereka ialah songkok bulat, baju kot tangan panjang dengan lima butang dari dada hingga ke leher. Seluarnya panjang hingga ke bawah lutut. Betis berpatis dan memakai kasut but.

W.E. Speers berkhidmat sebagai Ketua Inspektor di Kota Kuala Muda sejak 1906, akhirnya memberhentikan perkhidmatannya dalam tahun 1929 sebagai Pesuruhjaya Polis. Beliau berkhidmat selama 23 tahun dengan Kerajaan Kedah. Semasa beliau bertugas sebagai Pesuruhjaya Polis, W.E. Speers menubuhkan sebuah kontinjen khas polis Sikh yang dipanggil Polis Sepahi. Tugas mereka ialah mengawal istana Yamtuan dan Istana Rejen serta rumah kediaman Penasihat British.

Dalam tahun 1929, kekuatan Pasukan Polis Kedah yang dianggotai oleh orang Melayu dan Sikh, termasuk Ketua Inspektor dan Inspektor-Inspektor semuanya berjumlah 764 orang. Masa itu tidak ada polis trafik. Segelintir daripada 164 tadi ialah mata-mata gelap.

A.W. Hamilton datang menggantikan W.E. Speers dalam tahun 1929 dan berusaha meningkatkan disiplin dan kemahiran polis dalam bidang menembak, kawad dan meronda kawasan orang-orang ramai. Begitu juga diperkenalkan pengetahuan psikologi ketika menangkap penjahat dan orang gila. Di kawasan Kulim diletakkan seorang Pesuruhjaya Polis bernama P. K. Hazlitt.

Selepas ini Kedah dibahagikan kepada tiga kawasan polis di bawah tiga orang Pegawai Penguasa Polis, E.P. Colgan menjadi Pegawai Polis Penguasa di Alor Setar, A.F. Sheady menjadi Pegawai Penguasa di Kulim dan D.Kenny di Sungai Petani. D.Kenny juga menjadi Pegawai Penjara Cawangan Mata-Mata Gelap seluruh negeri berpejabat di Sungai Petani.

A.W. Hamilton tidak lama berkhidmat di Kedah. Minatnya kepada bahasa kebudayaan Melayu amat mendalam sehingga beliau pernah menyarungkan pakaian Melayu dan berserban masuk ke dalam Masjid Zahir bersembahyang Jumaat bersama-sama orang Melayu. Atas laporan dari Syaikul Islam, Tunku Mahmud menjadi Presiden Dewan Mesyuarat Negeri telah bertindak.

A.W. Hamilton ditukarkan ke negeri lain. Buku Pantun Kanak-Kanak iaitu "Nursery Rumes" dwi-bahasa Inggeris-Melayu karya A.W. Hamilton masih menarik dibaca. Beliau digantikan oleh Ketua Pegawai Penguasa Polis (C.P.O) yang baru : Penny - Father Evans yang tidak tahu berbahasa Melayu.