Wednesday, March 02, 2011

S U C I K A N MAKSUD DAN TUJUAN





S    U    C    I    K    A    N
 MAKSUD DAN TUJUAN


PERHATIKAN SABDA RASULULLAH SAW YANG BERMAKSUD : BARANGSIAPA YANG HIJRAHNYA KEPADA ALLAH DAN RASUL MAKA HIJRAHNYA ADALAH KEPADA ALLAH DAN RASUL. BARANGSIAPA YANG HIJRAHNYA KEPADA DUNIA UNTUK MENDAPATKANNYA ATAU WANITA UNTUK MENGAHWININYA, MAKA HIJRAHNYA TERHENTI PADA TUJUAN HIJRAHNYA ITU .
 FAHAMILAH SABDA RASULULLAH SAW TERSEBUT DAN PERHATIKAN PERSOALANNYA JIKA KAMU BOLEH MEMAHAMINYA. DAN, SELAMATLAH ATAS KAMU.
Hikmat ini adalah lanjutan kepada Kalam Hikmat yang lalu. Keluar dari satu hal kepada hal yang lain adalah hijrah juga namanya. Apa yang didapati dari hijrah ialah apa yang dituju atau dimaksudkan dengan hijrah itu.
Orang yang keluar dari penjara hawa nafsu dan dunia kerana inginkan syurga, maka pencariannya akan terhenti pada syurga.
Orang yang keluar dari penjara akhirat kerana menginginkan kekeramatan akan berhenti bila berjaya memperolehi kekeramatan. Orang yang keluar dari semua penjara alam kerana bermaksud mencapai Ilmu Allah akan berhenti pada ilmu.
Orang yang keluar dari kurungan ilmu kerana mahu mendapatkan makrifat akan berhenti pada makrifat.
Semua maksud dan tujuan yang telah dinyatakan tadi menghalang seseorang dari masuk ke Hadrat Allah s.w.t. Hanya satu sahaja tujuan yang benar-benar suci lagi murni, iaitu berhijrah kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya.
Rasulullah s.a.w menyebutkan berhijrah kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya, bukan berhijrah kepada Allah s.w.t semata-mata.
Hijrah zahir adalah berpindah dari Makkah pergi ke Madinah. Hijrah hati adalah meninggalkan sifat-sifat yang keji dan pergi kepada sifat-sifat yang terpuji.
Hijrah rohani adalah meninggalkan segala yang maujud dan pergi kepada Rasul Allah kerana hanya Rasul Allah yang boleh membimbing kepada Allah s.w.t, sesuai dengan penyaksian:
Tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhamad Rasul Allah.
Ketuhanan Allah s.w.t dan kerasulan Muhamad s.a.w tidak dipisahkan. Rasul Allah adalah umpama jambatan yang menghubungkan segala sesuatu dengan Allah s.w.t.
Bagaimana mahu sampai kepada Allah s.w.t jika tidak melalui jambatan-Nya. Apa juga usaha dan jalan yang diambil untuk pergi kepada Allah s.w.t, tidak akan berhasil jika tidak diikuti jalan Rasul Allah.
Bahkan bolehlah dikatakan Allah s.w.t tidak mungkin ditemui jika Rasul-Nya tidak ditemui. Muhamad s.a.w adalah Rasul Allah. Semua nabi-nabi sejak Nabi Adam a.s menyaksikan bahawa Muhamad s.a.w adalah Rasul Allah.
Tidak ada kenabian tanpa nur Kenabian Muhamad s.a.w. Tiada syuhud (penyaksian)  tanpa syuhud terhadap nur Kebenaran Muhamad s.a.w.
Tidak akan sampai kepada Hakikat Allah s.w.t tanpa fana di dalam Hakikat Muhamad s.a.w. Tiada makrifatullah tanpa makrifat Muhamad s.a.w. Begitulah hukum hakikat dan makrifat. Penyaksian ketuhanan Allah s.w.t dan penyaksian kerasulan Muhamad s.a.w tidak boleh bercerai tanggal.
Allah berfirman dalam Hadis Qudsi yang bermaksud:  Wahai Muhamad! Kamu melihat mereka melihat kamu, dan meskipun mereka melihat kamu namun, mereka tidak mengenal kepada kamu.
Orang yang paling hampir dengan Rasulullah s.a.w adalah Saidina Abu Bakar as-Siddik r.a. Beliau berkata: Wahai Rasulullah. Engkau tidak terpisah daripadaku meskipun aku berada di dalam bilik kakus (tempat membuang air). 
Kelebihan Abu Bakar r.a dari sekalian manusia adalah lantaran Sir yang ada pada dirinya. Sir (Rahsia) adalah perkaitan atau jambatan antara  roh dengan Allah s.w.t. Sir yang tersembunyi dalam rahsia hati berkekuatan melebihi kekuatan langit dan bumi. Sir dapat memandang tanpa biji mata dan mendengar tanpa telinga.
Sir tidak menetap di satu tempat dan tidak pula mengembara. Sir tidak makan dan tidak minum. Akal tidak ada pengetahuan tentang Sir. Sir tidak ada hubungan dengan hukum sebab musabab.
Sir hidup dalam abad demi abad, sedangkan jasad hidup dalam waktu tertentu. Bila seseorang yakin tentang sirnya maka dia bukan lagi dirinya. Dia adalah daripada Allah s.w.t, sedangkan sekalian yang maujud datang kemudian daripadanya.
Tidak ada satupun yang datang kemudian daripadanya dapat mengalahkannya, asalkan dia mengenal kedudukannya dan membiasakan duduk di dalam makamnya, maka dengan demikian dia lebih kuat dari  bumi dan langit,
Lebih kuat dari Syurga dan Neraka, lebih kuat dari huruf dan asma’, lebih kuat dari apa yang nyata di dalam dunia dan akhirat. Bagaimana hubungan hati seseorang dengan Rasulullah s.a.w menentukan kedudukan sirnya.
Hati yang menerima pancaran cahaya nur Rasulullah s.a.w dikatakan hati yang ada perkaitan dengan Sir.
Hijrah rohani melalui berbagai-bagai peringkat sebelum sampai kepada Allah s.w.t. Seseorang salik atau murid yang melakukan hijrah rohani kepada Allah s.w.t tidak akan berhasil mencapai maksudnya.
Jika dia tidak ‘bersama’ Muhamad s.a.w kerana semua pintu langit, semua pintu Syurga, semua pintu hijab dan pintu masuk ke Hadrat Allah s.w.t hanya dibuka kepada Muhamad s.a.w dan yang menyertai Muhamad s.a.w. Berhijrah kepada Allah s.w.t tetapi lari dari Muhamad s.a.w adalah kejahilan.
Salik yang benar pada hijrahnya, mula-mula dikurniakan cahaya yang menerangi hatinya, membuatnya merasakan hampir dengan Allah s.w.t, dan hatinya merasakan Allah s.w.t berbicara dengannya.
Apa sahaja yang sampai kepada hatinya adalah juru bicara Allah s.w.t. Kemudian dia dibawa kepada makam makrifat iaitu saling kenal mengenal. Jadilah dia seorang yang mengenal Allah s.w.t. Makam ini adalah permulaan makam kesudahan.
Ahli tasauf sering mengucapkan:
Permulaan agama ialah mengenal Allah s.w.t.
Hijrah bersama-sama Rasulullah s.a.w meletakkan makrifat sebagai permulaan, sedangkan hijrah tanpa Rasulullah s.a.w menjadikan makrifat sebagai kesudahan jalan.
Sebab itu orang yang berhijrah tanpa Rasulullah s.a.w, setelah memperolehi makrifat mereka beragama dengan cara lain dari cara Rasulullah s.a.w beragama. Mereka tidak lagi berpegang kepada Sunah Rasulullah s.a.w.
Sebenarnya mereka baharu berada di ambang pintu agama, belum lagi masuk ke dalam gerbang agama yang benar, yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w.
Setelah mencapai makrifat, orang arif menanggalkan segala-galanya. Dia tidak lagi bersandar kepada amal, ilmu, makrifat, aulia yang agung, Malaikat dan semua yang selain Allah s.w.t.
Dia mengikhlaskan hati pada semua perbuatannya dan niatnya hanya tertuju kepada Allah s.w.t. Dia membenamkan dirinya ke dalam sabar menghadapi apa juga ujian dan fitnah. Kuatlah dia berserah diri dan tawakal kepada Allah s.w.t.
Kemudian dia naik kepada reda dengan segala hukum dan takdir Allah s.w.t. Seterusnya dia masuk ke dalam makam syuhud, iaitu menyaksikanNya dengan mata hati. Masuklah dia ke dalam makam keteguhan.
Pada peringkat ini dia sudah melepasi makam kalbu, kerana kalbu adalah keadaan yang berbalik-balik, berubah-ubah, tidak tetap dan tidak teguh. Bila dia sudah berada dalam keteguhan maka dihulurkan kepadanya perjanjian kewalian.
Kewalian bukanlah kekeramatan. Sikap menghubungkan kewalian dengan kekeramatan adalah kesilapan yang besar. Sikap beginilah yang membuat orang tertipu dengan keramat khadam dan jin. Ada pula yang tertipu dengan sihir yang dilakukan oleh syaitan.
Kewalian sebenarnya menggambarkan tentang nama Allah s.w.t, al-Waliyyu, yang bermaksud Yang Menjaga, Yang Melindungi dan Yang Memelihara. Orang yang dijadikanNya wali adalah orang yang dibawa masuk ke dalam wilayahNya atau penjagaan, perlindungan dan pemeliharaanNya, dari berbalik mata hatinya kepada selain Allah s.w.t.
Seorang wali ialah orang yang tetap penglihatan mata hatinya kepada Allah s.w.t walau dia di dalam kesibukan sekalipun. Semua sahabat Rasulullah s.a.w adalah wali-wali tetapi jarang kedengaran mereka mempamerkan kekeramatan.
Rasulullah s.a.w sendiri bersama-sama sahabat termulia, Abu Bakar as-Siddik r.a, berhijrah dari Makkah ke Madinah dengan berjalan kaki dan menaiki unta, bukan terbang di udara dan sampai di Madinah dalam sekelip mata.
Aulia Allah yang agung mengatakan kekeramatan adalah permainan kanak-kanak yang diperlukan seseorang untuk meneguhkan iman, sedangkan orang yang sudah teguh imannya tidak memerlukan kepada keramat.
Seorang wali Allah s.w.t mengatakan orang yang keramat bukanlah orang yang dapat mengeluarkan wang dari poketnya yang kosong atau menukar daun kayu menjadi wang kertas.
Seorang yang keramat ialah orang yang poketnya penuh dengan wang, tetapi bila dia cuba mengambil wang di dalam poketnya itu didapatinya semua wang itu tidak ada,
Walaupun begitu hatinya tidak berkocak sedikitpun oleh hal tersebut, dia tidak berasa apa-apa. Jadi, kewalian adalah istiqamah iaitu keteguhan bersama-sama Allah s.w.t, bukan kekeramatan.
Andainya Allah s.w.t melahirkan kekeramatan melalui waliNya itu adalah kerana hikmah yang Dia sendiri mengaturnya kerana tujuan yang hanya Dia mengetahuinya.
Orang yang berada di dalam wilayah-Nya akan dibawa pula kepada makam pilihan. Setelah dipilihNya diserahkan amanat dan disingkapkan kepadanya khazanah rahsia-rahsia-Nya.
Orang yang berada pada peringkat ini sudah dapat menyimpan Rahsia-rahsia Allah s.w.t, tidak membeberkannya sebagai barang murahan yang boleh menyebabkan berlaku fitnah kepada orang ramai.
Setelah itu semua dilalui, jadilah dia seorang khalil atau sahabat setia. Seorang khalil dapat mencapai makam al-mahabbah (makam cinta).
Makam cinta ini dinamakan makam as-Sir iaitu makam Hakikat Muhamad s.a.w. Kefanaan di dalam makam Mahabbah ini membakar segala tutupan dan hijab lalu tersingkaplah kemutlakan.
Lalu si hamba masuk ke Hadrat Allah s.w.t dengan didorong oleh tarikan yang kuat oleh cahaya nur yang pada sisiNya.
Selamatlah si hamba itu sampai ke Hadrat Tuhannya. Allah s.w.t yang memulakan ciptaan-Nya dan mengulanginya. Permulaan segala sesuatu ialah Allah s.w.t dan akhirnya juga adalah Allah s.w.t.
Dia Yang Awal dan Yang Akhir. Kami datang dari Allah s.w.t dan kepada Allah s.w.t kami kembali.

1 comment:

DAHAGI SINGAPURA

DAHAGI SINGAPURA. KENAPA penentangan terhadap penjajahan  dikatakan PEMBERONTAKAN? Paling mengecewakan apabila Melayu dan orang Islam menjad...