Sunday, April 18, 2010

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Merdeka! Merdeka! Merdeka!
- Riwayat Hidup YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj
Era

Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj merupakan seorang putera raja yang telah menyalurkan tenaganya ke arah mencapai kemerdekaan dan keharmonian negara. Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj merupakan Putera Sultan Abdul Halim Shah, Sultan Kedah yang ke-24 dan dilahirkan pada 8 Februari 1903 di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar, Kedah. Ketika itu Kedah adalah sebuah negeri di bawah naungan Siam. Beliau adalah anakanda kepada Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid Shah. Ibunya bernama Cik Manjalara merupakan seorang puteri Ketua Negeri Mataban, dalam jajahan Siam.

Penglibatan Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam parti UMNO membawa kepada perlantikannya sebagai Perdana Menteri yang pertama selepas kemerdekaan dari 1957 hinggalah beliau bersara pada tahun 1970. Pada 6 Disember 1990, seluruh negara dirundung pilu kerana YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Bapa Kemerdekaan, Bapa Malaysia meninggal dunia dan dikebumikan dengan penuh hormat di tanah perkuburan keluarganya di Kedah selaku menunaikan permintaan beliau.

Asal Usul

Ibu Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bernama Cik Menjalara, merupakan anak Ketua Negeri Mataban, dalam jajahan Siam. Pendidikan formal Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bermula ketika berusia 6 tahun di sekolah Melayu dan seterusnya di Sekolah Inggeris Kerajaan yang kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid. Kemudian YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dihantar belajar di Siam di Sekolah Debsirinder, Bangkok ketika berusia 12 tahun. Apabila kekandanya Tunku Yusuf yang menjaganya di Bangkok meninggal dunia, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berpindah ke Penang Free School, Pulau Pinang pada tahun 1915.

Pada tahun 1919, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah dikurniakan hadiah pelajaran negeri Kedah ke England dan menerima Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sejarah) dari St. Catherine College, Universiti Cambridge pada tahun 1925. Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bolehlah dianggap sebagai anak Melayu yang pertama lulus universiti di England.

Selepas itu, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj meneruskan pula pengajiannya dalam bidang perundangan di Inner Temple, England. Semasa menuntut di England, jiwanya tersentuh dengan lagak bangsa penjajah yang memandang rendah kepada bangsa yang dijajah. Ini mendorongnya menubuhkan "Persatuan Anak-anak Melayu Great Britain" pada tahun 1927 yang bertujuan menyatupadukan pelajar-pelajar Melayu di sana serta menyemaikan semangat Kemerdekaan. Beliau juga menyertai "Majlis" iaitu sebuah persatuan pelajar India - Muslim yang melaung-laungkan sentiment anti-penjajah British.

Di sinilah beliau mula berjinak dalam bidang politik apabila menubuhkan Kesatuan Melayu Great Britain dan menjadi setiausahanya yang pertama. Bagaimanapun, apabila Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj gagal dalam peperiksaan, beliau pulang ke tanahair dan berkhidmat sebagai Pegawai Daerah di beberapa tempat di Kedah.

Sekembalinya ke tanahair pada tahun 1931, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj memasuki Perkhidmatan Awam Negeri Kedah dan pernah berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Kuala Muda, Padang Terap, Kuala Nerang, Pulau Langkawi dan Kulim.

Pada tahun 1938, sekali lagi Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ke England, kali ini untuk mengikut kursus undang-undang namun pengajiannya terbantut apabila meletusnya Perang Dunia Kedua.

Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj kembali ke tanahair dan bergiat cergas dalam SABERKAS. SABERKAS adalah singkatan kepada "Syarikat Bekerjasama Am Saiburi". Saiburi adalah nama Kedah dalam bahasa Siam namun maksud sebenarnya ialah "Sayang Akan Bangsa Redha Korban Apa Segala". Beliau banyak melakukan kerja-kerja kebajikan semasa pemerintahan tentera Jepun. Apabila Jepun menyerah kalah dan British kembali muncul, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menyertai Kesatuan Melayu Kedah.

Demi menyempurnakan cita-citanya menjadi seorang peguam pada tahun 1947, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ke England sekali lagi untuk menyambung pengajian undang-undangnya setelah tergendala selama 25 tahun. Pada tahun 1949 Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj lulus dari Cambridge Universiti dan ditauliahkan sebagai peguam.

Sekembalinya ke tanahair Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bertugas sebagai Pendakwaraya di Perkhidmatan Kehakiman Kuala Lumpur.

Semasa pemerintahan Jepun, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah diberi jawatan sebagai Penyelia Pelajaran Negeri Kedah. Di antara tahun 1947 hingga 1949 berlaku pergolakan politik yang hebat di Tanah Melayu. Pada masa itulah Almarhum YTMTunku Abdul Rahman Putra Al-Haj kembali ke England untuk meneruskan pengajian perundangan beliau di Inns of Court dan kembali ke tanahair dengan segulung ijazah peguam dan harapan untuk mengembagkan dasar demokrasi.

Pada masa itu beliau berumur 45 tahun dan telahpun berkahwin dengan Sharifah Rodziah bt. Syed Alwi Barakbah. Walau bagaimanapun, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pernah berkahwin sebelumnya dengan seorang gadis bernama Meriam pada tahun 1933, malangnya Meriam meninggal dunia akibat demam malaria. Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pernah juga berkahwin dengan Violet Coulson pada tahun 1935 tetapi perkahwinan itu tidak berkekalan.

Keistimewaan

Pada 13 Januari 1956, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengetuai rombongan perundingan Merdeka yang disertai oleh 4 orang wakil Raja Melayu dan 4 orang wakil Parti Perikatan di Lancester House dan pada 8 Februari 1956, beliau menandatangani Perjanjian Merdeka. Pada 31 Ogos 1957, Almarhum Tunku Abdul Rahman melaungkan perkataan, Merdeka! Merdeka! Merdeka! Di Stadium Merdeka Kuala Lumpur. Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dilantik sebagai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu Merdeka yang pertama dan dalam masa yang sama memegang portfolio Menteri Dalam Negeri.

Sebagai Perdana Menteri Malaya yang pertama, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah bertindak lancar dengan mencipta polisi-polisi baru. Tunku Abdul Rahman memulakan beberapa projek pembangunan, di antaranya ialah membina Masjid Negara, Stadium Negara, Bangunan Parlimen, Muzium Negara dan Tugu Kebangsaan. Pada tahun 1957, Pertandingan Bola Sepak Piala Merdeka di buka kepada semua negara kecuali Israel. Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mengasaskan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam usaha beliau untuk memperkayakan warisan Malaysia.

Di peringkat antarabangsa, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mengilhamkan penubuhan Association of Southeast Asia (ASA) dan memeterai perjanjian penubuhannya pada tahun 1961 dengan Thailand dan Filipina. Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj adalah seorang yang keras menentang dasar apartied Afrika Selatan sehingga negara itu disingkirkan keahliannya dari Komanwel dalam Persidangan Komanwel di London.

Untuk mengeratkan hubungan diplomatik sesama negara Islam serta meningkatkan syiar Islam, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mengilhamkan negara menganjurkan Pertandingan membaca Al-Quran peringkat antarabangsa. Tradisi ini diteruskan sehingga ke hari ini.

Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj adalah peminat sukan yang serius, beliau telah mengembangkan minatnya ke peringkat negara apabila Malaysia menganjurkan kejohanan Pestabola Merdeka pada setiap tahun yang menyumbang kepada negara ini muncul sebagai gergasi bolasepak Asia ketika itu.

Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj juga bertanggungjawab mengilhamkan penubuhan Malaysia yang terbentuk pada 16 September 1963, satu gagasan persekutuan yang terdiri dari Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Walau bagaimanapun, beliau dengan berat hati kemudiannya telah menyingkirkan Singapura dari Malaysia pada 9 Ogos 1965. Tindakannya adalah didasarkan kepada anggapannya bahawa Singapura adalah "barah yang harus dibuang" demi mengelakkan kacau-bilau politik merebak ke seluruh negara.

Bagi Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, ini perlu dilakukan demi keamanan negara ketika itu. Pada tahun 1969, pergolakan politik telah membawa kepada peristiwa hitam "13 Mei". Pada masa itu, beberapa pemimpin muda yang berfikiran radikal mendesak Almarhum untuk meletak jawatan. Beliau dikritik kerana kurang melaksanakan dasar pro-Melayu sehingga menyebabkan berlakunya rusuhan. Walau bagaimanapun, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj enggan berbuat demikian sehinggalah masalah itu dapat diselesaikan. Ekoran dari insiden itu, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah menyerahkan kuasa eksekutif kepada Tun Razak yang mempengerusikan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).

Akhirnya, pada 21 September 1970 tamatlah satu era apabila Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bersara dari jawatan Perdana Menteri Malaysia dan menerima pelawaan Raja Faizal dari Jeddah. Pada Perhimpunan Agung UMNO ke-22 pada 23-24 Januari 1971, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj meletakkan jawatan Yang DiPertua UMNO dan Tun Razak disahkan sebulat suara sebagai penggantinya.

Walaupun telah bersara, beliau menceburkan diri dalam bidang kewartawanan. Almarhum YTM Tunku Abdul RAhman Putra Al-Haj banyak menabur jasa dan mengharumkan Malaysia di peringkat antarabangsa. Beliau mendapat anugerah-anugerah akademik dan sukan dari dalam dan luar negara di samping menerima darjah-darjah kebesaran. Walau setinggi mana pencapaian beliau, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj tetap seorang yang merendah diri dan sentiasa memikirkan kebaikan rakyat.

Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj meninggal dunia pada 6 Disember 1990 di Hospital Besar Kuala Lumpur dan disemadikan di Makam Di Raja Langgar, Alor Setar. Jasa-jasanya sebagai Bapa Kemerdekaan akan sentiasa dikenang setiap kali menjelang Hari Kebangsaan.

Peranan Dan Sumbangan

Zaman pendudukan Jepun telah benar-benar melahirkan semangat kebangsaan di jiwa Almarhum. Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj adalah salah seorang yang hadir ketika Kongres Melayu Se Malaya yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman pada tahun 1946. Pada tahun 1949, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menjadi pengerusi UMNO bahagian negeri Kedah. Apabila Dato Onn bin Jaafar meletak jawatan sebagai Presiden UMNO, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah dipilih bagi mengisi kekosongan itu pada 26 Ogos 1951.

Sejak mengambil alih kepimpinan UMNO dari Dato Onn, Almarhum YTM Tunku Rahman Putra Al-Haj telah mewujudkan kerjasama dengan MCA menubuhkan Perikatan pada tahun 1952. Sejak itu Perikatan menjadi badan dominan yang memperjuangkan Kemerdekaan sehinggalah negara memperolehi kebebasan mutlak apabila Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj membacakan pengisytiharan Kemerdekaan pada pagi 31 Ogos 1957.

Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj membuktikan kenegarawanan beliau apabila Parti Perikatan dihasilkan bersama-sama dengan MCA dan kemudian disertai pula oleh MIC. Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menegaskan kemerdekaan akan hanya dicapai melalui kerjasama di antara kaum Melayu, Cina dan India. Kewibawaan Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebagai seorang pemimpin terserlah apabila hasil rundingan Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan pihak British membawa kepada pilihanraya yang pertama pada 31 Ogos 1955 dan Parti Perikatan memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dilantik menjadi Ketua Menteri. Di antara usaha beliau yang penting adalah cubaan menyelamatkan negara dari ancaman komunis semasa darurat dengan memberi tawaran pengampunan beramai-ramai sekiranya pengganas menyerah diri. Ini diikuti oleh Rundingan Baling pada 27 dan 28 Disember 1955 antara PKM dan kerajaan tetapi menemui jalan buntu.

No comments:

Post a Comment

DAHAGI SINGAPURA

DAHAGI SINGAPURA. KENAPA penentangan terhadap penjajahan  dikatakan PEMBERONTAKAN? Paling mengecewakan apabila Melayu dan orang Islam menjad...