Friday, December 10, 2010

Apabila umat Islam tinggalkan sains

Ibnu Sina @ "Avicenne' -Bapa Perubatan (Medicine)
Asal-usul ilmu sains boleh ditemui dalam tamadun Mesir purba. Walaupun kaedah dan pemikiran sains itu amat berbeza dengan sains seperti yang difahami hari ini.

Namun, terdapat banyak ciri-ciri yang menunjukkan bahawa sains purba bermula di Lembah Nil semasa zaman raja-raja Firaun. Setelah kejatuhan Mesir purba di tangan Iskandar Zulkarnain dari Macedonia, ilmu ini turut tersebar dalam tamadun Yunani yang memperkayakan sains dengan sumbangan fikiran dan kaedah-kaedah baru.

Tetapi kemudian ilmu sains mati dengan keruntuhan Yunani di atas kemunculan dan kegemilangan tamadun Rom, walaupun merupakan sebuah empayar besar tetapi tidak dikenali sebagai pemaju ilmu sains.

Ilmu sains Yunani bersama pemikiran dan falsafahnya tersimpan dalam manuskrip-manuskrip yang tersembunyi di merata-rata tempat tanpa dikaji dan digunakan. Ketika itulah, abad gelap bagi ilmu sains. Walaupun kemudian maharaja Rom memeluk agama Kristian dan empayar Bizantium menguasai dunia Mediterranean, tetapi ilmu sains masih tidak bangkit kembali.

Pada awal kemunculan Islam, ilmu sains masih belum bangkit semula. Ilmu sains dalam peradaban Islam bangkit dan mencapai kegemilangannya ketika era Khalifah Abasiah yang berpusat di Baghdad dan Khalifah Umayah di Andalusia. Ketika itu kerancakan minat terhadap ilmu mendorong ulama, yang bermaksud ilmuwan menggali pemikiran-pemikiran Yunani, termasuklah dalam bidang sains.

Khalifah Abasiah yang menguasai banyak wilayah yang dahulunya berada dalam empayar Yunani, Rom dan Bizantium telah menterjemahkan banyak manuskrip Yunani untuk dikaji, dibahas, diulas dan digunakan bagi memperkembangkan apa yang kini disebut sebagai sains Islam.

Zaman sains Islam berakhir apabila Khalifah Abasiah tumbang dengan serangan Mongol yang memusnahkan Baghdad dan segala perpustakaan serta buku-buku yang tidak ternilai harganya.

Sekali lagi ilmu sains mengalami zaman gelap dan segala kajiannya tersembunyi di tempat-tempat terpencil oleh penyimpan-penyimpan manuskrip di seluruh Asia Barat.

Perang Salib yang menemukan orang Eropah dengan manuskrip-manuskrip di Asia Barat merintis kepada zaman Renaisans atau Kebangkitan di Itali. Zaman ini ditandai dengan minat cendekiawannya terhadap pemikiran Yunani dan Islam. Contohnya, dalam perpustakaan peribadi Nostradamus, terdapat kitab tulisan Imam Ghazali.

Zaman Renaisans digantikan dengan Enlightenment atau Pencerahan yang mengukuhkan minat Barat terhadap ilmu. Akhirnya dengan penubuhan Royal Society serta pemikiran Francis Bacon mengorak langkah kepada penubuhan ilmu dikenali sebagai sains moden seperti yang ada hari ini.

Sejak itu, ilmu sains berkembang pesat digerakkan oleh orang Eropah dan keturunannya.

Walaupun kini ilmu sains sudah berkembang ke serata dunia dengan penyertaan bangsa-bangsa lain di dunia seperti China, Jepun dan India, tetapi penyertaan kalangan orang Islam masih terlalu amat kecil.

Sehingga kini hanya terdapat dua pemenang Hadiah Nobel dari kalangan orang Islam. Sementara tidak ada satu pun negara Islam yang terkenal dengan kecemerlangan kajian sainsnya.

Rujukan kepada artikel oleh :  Abdul Rahman Abdul Rahim , Utusan Malaysia,  16 April, 2004.

No comments:

Post a Comment