Wednesday, March 02, 2011

DOA ITU SENJATA GHAIB


DOA ITU SENJATA GHAIB

DOA adalah satu permintaan atau permohonan seseorang Muslim kepada Allah SWT bertujuan memperoleh sesuatu yang dihajati. Bersempena bulan hijrah yang akan meninggalkan kita ambilah iktibar masa lalu dengan doa sebagai satu senjata umat Islam sering kita lupakan terutama ketika menghadapi pelbagai

masalah sepanjang kehidupan di dunia ini. Bila sampai kemuncak kesusahan dan keperitan barulah membuat sesuatu yang diluar kemampuannya untuk melaksanakannya.

Doa seperti ditegaskan oleh Rasulullah sebagai 'senjata' kepada orang mukmin perlu disedari dan dihayati sepenuhnya oleh umat Islam. Doa menjadi tanda kepada perhambaan seorang manusia kepada Allah iaitu dengan cara merintih

dan merayu kepadaNya serta mengadu segala hal dan permasalahan dengan air mata berlinangan tanpa mengharapkan pertolongan selain daripada Allah sebagai Tuhan yang Maha Mendengar dan Mengasihani hambaNya.

Sesungguhnya, persoalan doa bukan sekadar fungsinya sebagai cara pengaduan kepada Allah tetapi juga turut diiktiraf sebagai ibadah yang amat agung. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT Petikan dari Surah Al-Ghafir Ayat 60 yang berbunyi;




Maksudnya : Dan katakanlah (wahai Muhamad), berdoalah kepadaKu. Nescaya Kumakbulkan permintaanmu. Sesungguhnya mereka yang takbur dan enggan beribadat kepadaKu akan dicampakkan ke dalam Neraka Jahanam yang perit azabnya.

Dalam ayat itu, Allah menerangkan doa adalah satu wasilah pengaduan seseorang hamba kepada Tuhannya yang dijamin akan diperkenankan permintaan itu sama ada di dunia ini disegerakan permintaan itu) atau di akhirat (ditangguhkan atau diberikan pahala kepadanya atas ibadah doa dikerjakan).

Doa memainkan peranan penting melembutkan hati dan dibukakan jalan untuk mendapat hidayah Allah. Bukan semua orang yang Allah berikan keinginan untuk berdoa dan menadah tangannya di hadapan Allah, bahkan ramai malas dan berdoa hanya sekadar untuk mencukupkan syarat tanpa rasa gerun dan takut kepada Allah tunduk dan merasai kehebatan dan keagungan-Nya serta penuh pengharapan di hadapan Allah.

Apabila malas berdoa mula melebar dalam diri kita, perlu melakukan muhasabah ke dalam hati kita, mungkin ada yang tidak kena atau ada perkara menghalang sehingga kita tidak dapat merasai kemanisan berdoa.

Doa dilafazkan oleh seseorang Muslim itu amat mustajab dan mampu mendatangkan kesan dengan izin Allah. Selain itu, seseorang Muslim harus sedar keengganannya untuk berdoa kepada Allah akan menyebabkan kemurkaan Allah kepadanya. Apabila seseorang itu memohon kepada selain daripada Allah ketika dalam kesulitan, dia dianggap mensyirikkan Allah.

Di samping itu, keengganannya juga menggambarkan takbur dan merasakan diri sudah cukup tanpa memerlukan pertolongan daripada Allah. Ia jelas bertentangan dengan prinsip kehambaan seorang hamba terhadap tuannya apatah lagi terhadap Allah yang Pencipta sekalian alam.

Allah menjadikan doa sebagai perisai kepada golongan mukmin dan mereka yang sentiasa mengharapkan keredaanNya. Dalam beberapa riwayat ada dinyatakan golongan yang doa mereka amat mustajab dan dikabulkan oleh Allah. Antara yang tergolong dalam golongan ini ialah :

Pertama; mereka yang dizalimi. Ia termasuklah golongan yang dihina, dihalau daripada tempat kediaman mereka tanpa hak atau bentuk kezaliman yang lain;

Kedua; golongan yang bermusafir untuk tujuan yang baik;

Ketiga; doa kedua-dua ibu bapa kepada anaknya,

Keempat ; doa mereka yang menunaikan ibadah haji atau umrah.

Di sini jelas betapa mereka yang berada dalam situasi sedemikian sememangnya Allah muliakan dan doa mereka juga dijanjikan oleh Allah akan dimakbulkan selagi tidak membawa kepada maksiat atau kejahatan.

Selain itu, doa yang mustajab juga ialah doa daripada seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah; dan sahabatnya itu tidak mengetahui bahawa dia sedang didoakan oleh seseorang. Di samping itu, individu yang mendoakan sahabatnya itu juga akan diberikan ganjaran dan diberikan kebaikan seperti dia mendoakan sahabatnya itu.


Setiap Muslim perlu memahami doa dimakbulkan oleh Allah atas permintaan hambaNya itu adakalanya dikurniakan berdasarkan apa yang dimintanya atau dipaling iaitu menjauhkan daripadanya sesuatu kejahatan setaraf dengan doanya itu atau Allah menangguhkan dahulu permohonan hamba itu untuk dijadikan sebagai pahala pada akhirat kelak.

Rasulullah S.A.W bersabda bermaksud : Tiada seorang Muslim berdoa tidak mengandungi dosa atau mengarah kepada pemutusan hubungan kekeluargaan, melainkan Allah akan mengurniakan baginya salah satu daripada tiga keadaan, iaitu



PERTAMA segera dikabulkan doanya;
KEDUA disimpan untuk diberikan di akhirat;
KETIGA atau kerana doanya itu maka Allah menjauhkan dia daripada kesulitan.

No comments:

Post a Comment