Wednesday, March 02, 2011

SIFAT MAZMUMAH



SIFAT MAZMUMAH
SEDANG berlaku di depan mata kita kini penyakit-penyakit putus asa, kecewa, resah gelisah, penderitaan jiwa, kacau bilau fikiran, rendah diri (inferiority compfex), kesunyian, kekosongan hati, rasa keseorangan (loneliness), ketegangan perasaan dan lain-lain bentuk sakit jiwa.

Dan sedang berleluasa juga di dalam masyarakat Islam hari ini penyakit-penyakit hasad dengki, bakhil, gila dunia, dendam, cepat marah, jahat sangka, tamak, mementingkan diri sendiri, mudah takut, sombong, riak, ujub iaitu perbuatan yang tercela . Ini dapat dirasai oleh rakan sepejabat dan pasangannya serta jirannya.

Walaupun sakitnya tidak nampak oleh mata kasar kita, siapa berani menafikan hakikat ini…..? Bahawa bilangan orang-orang yang menderita sakit (krisis) jiwa saat ini lebih ramai daripada bilangan penderita-penderita sakit fizikal yang ada' di hospital-hospital. Tetapi aneh, kepakaran dan keintelektual tidak terlalu serius memikirkan pengubatan kepada pesakit batin seperti mana seriusnya mereka terhadap pengubatan fizikal lahiriah manusia.

Apakah mereka tidak sedar bahawa pesakit jantung, buah pinggang, kencing manis, barah dan lain-lain itu tidak pernah bunuh diri dan membunuh orang lain? Tetapi pesakit-pesakit batin, pesakit jiwa, kekosongan, rendah diri, putus asa, hasad dengki, dendam, pemarah, buruk sangka dan lain-lain itu akan memungkinkan manusia membunuh diri sendiri atau membunuh orang lain…?

Demikian satu bukti bahawa penyakit-penyakit batin itu sebenarnya memerlukan perhatian dan rawatan yang lebih serius daripada rawatan kepada penyakit-penyakit lahir.

Bukan sahaja kerana penyakit batin lebih menyeksakan individu pesakit, tetapi ia bakal memungkinkan kusut dan kucar-kacirnya sesebuah masyarakat. Telah datang Nabi Muhamad S.A.W ke tengah manusia. Baginda melihat kekusutan dan kemungkaran yang sedang meracuni kehidupan masyarakatnya.

Seorang diri baginda bangun dan bekerja untuk menyelamatkan manusia. Institusi pertama yang baginda bangunkan ialah Masjid, satu tempat di mana manusia membersihkan hatinya, lembutkan hatinya, menenangkan hatinya, melapangkan dadanya, membebaskan diri dari ikatan dunianya, iaitu dengan membesarkan Tuhan melalui solat dan ibadah-ibadah lain.

Rasulullah memandang keselamatan manusia keselamatan hatinya (rohnya) bukan jasad lahirnya. Sebab itu baginda bekerja mengubah dan mengubat hati mereka dan baginda berjaya, Kita kini sedang melihat kekusutan dalam masyarakat kita sama sebagaimana apa yang disaksikan oleh baginda Rasul lebih 1400 tahun dulu.

Kalau baginda telah berjaya terhadap masyarakatnya mengapa kita tidak mengikut jejak langkahnya….? Kita ubati dulu mazmumah dan krisis jiwa kita, ahli-ahli kita dan masyarakat kita. Kita ketengahkan pada masyarakat pengertian hidup yang hakiki yang dapat mengembalikan manusia pada fitrahnya. Kita contohkan satu formula yang menjamin kebahagiaan hati dan keselamatannya! Kita perjuangkan kehidupan "sunah" yang semuanya membawa manusia kepada Syurga dunia dan akhirat.

Mana ada selain Islam satu cara hidup yang dapat menjadikan kita terhibur dengan kemiskinan, kesunyian, kesakitan, keseorangan, kematian orang yang dikasihi, kegagalan dan dengan segala bentuk ujian. Mana ada selain Islam cara hidup yang mengikat hati suami isteri, anak dengan ibu bapa, pengikut dengan pemimpin, pekerja dengan majikan…..? Mana ada selain Islam cara hidup yang mengajar kita berkasih sayang, bertolak ansur, pemurah, baik sangka dan tolong-menolong.

Mana ada selain Islarn cara hidup yang membangkitkan cinta agung manusia pada penciptanya hingga kerana itu manusia mengorbankan hidupnya untuk Tuhannya dan menanti kematian sebagai penantian seorang kekasih kepada pertemuan dengan kekasihnya. Islam mengajak kita menilik hati kita, mengenalinya dan mengubat sakitnya. Apabila hati sudah terubat, anda akan temui hati-hati penuh dengan "cahaya" kebahagiaan, ketenangan dan kelapangan. Itulah Syurga sementara sebelum  bertemu Allah untuk menerima Syurga yang kekal abadi.

"Mengenal Diri Melalui Rasa Hati" ini memandu  untuk melegakan krisis jiwa, ketegangan fikiran dan kejahatan batin kita. Insya-Allah. Mudah-mudahan kita akan perolehi keselamatan dan kebahagiaan hidup sebagaimana yang Allah janjikan. Dengan berkat kebesaran-Mu ya Allah, Nabi dan Rasul-Mu Muhamad S.A.W serta keluarga dan sahabat baginda, wali-wali-Mu .

Jadikanlah, ya Allah buku ini sebagai ubat pada jiwa kami dan selamatkan hati-hati kami sebagaimana keselamatan yang Engkau maksudkan dalam firmannya Petikan dari Surah Asy Syuaraa Ayat 88-89 yang bermaksud: Hari kiamat iaitu hari (ketika manusia meninggalkan dunia ini) di mana harta dan anak tidak berguna lagi kecuali mereka yang mengadap Allah membawa hati yang selamat.

No comments:

Post a Comment

DAHAGI SINGAPURA

DAHAGI SINGAPURA. KENAPA penentangan terhadap penjajahan  dikatakan PEMBERONTAKAN? Paling mengecewakan apabila Melayu dan orang Islam menjad...